comscore
Tumpuan :
Jenayah

Setiausaha Bahagian kementerian disyaki seleweng RM400,000 dana kerajaan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Dua individu termasuk seorang pegawai kanan kementerian bergelar Datuk antara dua individu direman kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan berjumlah kira-kira RM400,000.

Perintah reman selama empat hari sehingga Jumaat ini terhadap suspek lelaki yang bergelar Datuk berusia dalam lingkungan 50-an, manakala seorang lagi suspek lelaki berusia lingkungan 30-an direman selama dua hari sehingga esok.

Perintah reman telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini pagi tadi.

Sementara itu, seorang lagi suspek lelaki berusia lingkungan 40-an yang juga merupakan penjawat awam turut ditahan tetapi dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sumber berkata, ketiga-tiga suspek ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya pada lewat malam semalam.

Jelas sumber, seorang daripadanya ialah Setiausaha Bahagian yang bertanggungjawab mengawal selia salah sebuah agensi Badan Berkanun Kerajaan manakala dua individu yang lain merupakan pegawai khas dan pemandu beliau.

“Suspek utama dipercayai melakukan perbuatan tersebut baru-baru ini dengan mengemukakan kertas cadangan program tersebut untuk kelulusan peruntukan dan kemudiannya disalurkan kepada sebuah agensi kerajaan berkaitan.

“Suspek turut disyaki berpakat dengan orang dalam agensi kerajaan tersebut dan mengeluarkan wang peruntukan tersebut secara tunai yang bernilai ratusan ribu ringgit dan kemudiannya digunakan untuk keperluan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini