comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sepasang kekasih antara 3 individu ditahan, rampas dadah lebih RM2.83 juta

JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita serta merampas 16.345 kilogram dadah disyaki serbuk ekstasi; 225 gram disyaki ketamin; 68.87 gram disyaki syabu; 140 biji pil erimin 5; 294 biji pil ekstasi, 14.75 gram ganja dan 330 mililiter cecair disyaki dadah dalam 10 katrij vape serta lima botol isian semula cecair vape bernilai lebih RM2.827 juta pada minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata penahanan itu berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah terbaru dengan memasukkan cecair disyaki dadah dalam katrij vape, sebelum dijual ke pasaran dengan harga antara RM200 hingga RM300.

Beliau berkata, dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 76,621 penagih.

Katanya, pihaknya menahan seorang lelaki di parkir sebuah pangsapuri pada jam 6.45 petang 16 Oktober lalu sebelum membuat dua lagi serbuan susulan dan menahan lelaki serta wanita dipercayai pasangan kekasih pada jam 4 pagi, 17 Oktober lalu.

“Modus operandi sindiket itu menjadikan pangsapuri sebagai stor dan tempat pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Sindiket ini aktif beroperasi sejak Ogos lalu, namun mereka baru menyewa di semua pangsapuri terbabit selama seminggu.

“Modus operandi mereka juga kerap berpindah-randah, mereka menyewa di satu lokasi kira-kira seminggu, sebelum berpindah ke lokasi lain bagi mengelak dikesan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Pada operasi itu, polis turut menyita sebuah kereta dan wang tunai RM160.

Kumar berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap tiga suspek berusia 27 hingga 44 tahun itu mendapati mereka positif methamphetamine, manakala semakan rekod lampau mendapati dua daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah dan dadah.

Sementara itu, Kumar turut berkongsi satu lagi kejayaan pihaknya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah berlainan dalam operasi di sebuah lagi pangsapuri sekitar daerah ini, antara jam 3 petang hingga 10 malam 15 Oktober lalu.

Dalam serbuan itu, tiga individu termasuk seorang wanita berusia antara 17 hingga 39 tahun ditahan bersama 5.025 kilogram serbuk disyaki ekstasi; 1.65 gram ketamin dan 189 mililiter cecair ekstasi yang semuanya dianggarkan bernilai RM871,068.

“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan pangsapuri berpagar dan berpengawal sebagai stor serta tempat pembungkusan semula dadah. Mereka dipercayai sudah aktif sejak Julai lalu.

“Dadah dirampas boleh digunakan seramai 26,078 penagih. Kita turut menyita dua kereta dan wang tunai RM1,850,” katanya.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada mereka positif methamphetamine dan seorang lagi positif ketamin, manakala semakan rekod mendapati hanya seorang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Kumar berkata, semua enam suspek yang ditahan dalam dua operasi itu kini direman tujuh hari sehingga Selasa ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Loading...
Terkini