MUAR: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mendalangi kegiatan memproses dan jual arak tidak bercukai bernilai lebih RM500,000 selepas menyerbu tiga lokasi di Bukit Pasir, di sini, semalam.
Suspek berusia 39 tahun ditahan selepas sepasukan polis dari Batalion Ke-5 Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu premis terbabit pada 6.45 petang.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, penahanan suspek dibuat hasil intipan dan maklumat diterima.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 134 bungkusan arak, dua tong pati arak serta dua buah lori dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM544,227.
“Siasatan awal mendapati suspek menjalankan kegiatan memproses arak yang kemudiannya menjual di pasaran ditetapkan.
“Suspek direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.