comscore
Tumpuan :
Jenayah

Seorang lagi penyamun lapar dicekup

Rakaman CCTV mendapati tiga lelaki bertopeng memecah masuk sebuah rumah di Jalan Stampin Tengah, Kuching untuk mencuri makanan. FOTO: Ihsan PDRM Sabah

KUCHING: Seorang lagi penjenayah yang memecah masuk ke sebuah rumah di Jalan Stampin Tengah, di sini, untuk mencuri makanan Sabtu lalu, ditahan tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan sekitar bandar raya ini pada jam 12.52 tengah malam tadi.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek kedua itu mempunyai 23 rekod jenayah lampau dan saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah.

Artikel berkaitan: Penyamun lapar

“Gerakan diteruskan oleh pasukan Task Force Counter Aggresive Team (CAT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk mengesan seorang lagi suspek dalam kejadian pecah rumah itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi Sabtu lalu, tiga lelaki bertopeng memecah masuk rumah mangsa dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mereka didapati mencuri pelbagai jenis makanan dari rumah berkenaan.

 

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah.

Polis yang bertindak selepas menerima laporan kejadian itu berjaya menahan suspek pertama kira-kira jam 5.20 pagi Ahad lalu.

Hasil semakan mendapati suspek memiliki empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Polis turut menemui sembilan peralatan memecah rumah antaranya tukul, pemotong besi, playar, pemutar skru, pengumpil, gunting dan parang.

Siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun, denda serta sebat.

Loading...
Terkini