Oleh: Kadir Edison
SERIAN: Seorang daripada dua tahanan yang melarikan diri dari lokap Balai Polis Tapah, Serian Isnin lalu berjaya ditahan sepasukan polis sekitar jam 9 pagi tadi.
Suspek terbabit yang berusia 21 tahun ditahan berdekatan sebuah kolam memancing kira-kira satu kilometer dari Balai Polis Tapah, Serian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, ketika ditahan suspek berkenaan berada dalam keadaan keletihan dengan kesan calar di bahagian badan dan kaki selepas terpaksa bermalam di kawasan belukar sekitar kawasan kolam memancing itu lebih 72 jam.
“Dia berpecah dan mengikut haluan masing-masing selepas keduanya melarikan diri daripada Lokap Balai Polis Tapah.
“Mengikut pada siasatan awal, kita percaya satu lagi suspek yang masih bebas itu masih lagi dalam radius kawasan pencarian kita” katanya ketika ditemui selepas menghadiri taklimat operasi hari keempat Op Tutup di Balai Polis Tapah, di sini.
Beliau berkata, usaha masih giat dilakukan untuk mengesan seorang lagi suspek berusia 31 tahun yang masih bebas.
Dalam kejadian pada Isnin dua tahanan warga Indonesia melarikan diri ketika berada dalam tahanan lokap di balai berkenaan.
Kedua-dua suspek terbabit sebelum ini ditahan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Kota Sentosa sebelum ditempatkan di lokap Balai Polis Tapah.
Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan yang sah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.