Tumpuan :
Jenayah

Sengsara Selepas ‘Dirawat’ Warga Asing

Foto: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Gara-gara mahu mendapatkan payudara ‘montok’, isteri kepada ahli perniagaan terpaksa menanggung derita selepas ia membengkak akibat rawatan dilakukan di sebuah pusat kecantikan tidak bertauliah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Wanita berusia 40-an itu mengetahui mengenai rawatan ditawarkan pusat kecantikan berkenaan menerusi iklan di Facebook pada awal tahun lalu.

Dia berminat untuk membuat rawatan payudara di premis berkenaan selepas tertarik dengan harga murah ditawarkan iaitu serendah RM1,000 bagi rawatan membesarkan payudara.

Bagaimanapun, impiannya untuk mendapatkan payudara ‘montok’ bertukar menjadi mimpi ngeri apabila ia mula membengkak selepas beberapa minggu membuat rawatan berkenaan yang dilakukan oleh warga asing.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita berhubung kegiatan premis berkenaan.

Menurutnya, susulan itu pihaknya menahan lima warga Indonesia dalam Ops Dandan di sebuah premis berkenaan pada 1 tengah hari semalam.

“Kita menahan dua lelaki dan tiga wanita berusia 24 hingga 41 tahun mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Pemilik premis adalah warga tempatan dan kita akan memanggilnya serta mengambil tindakan lanjut kerana mengaji warga asing.

“Mereka sudah beroperasi sejak lebih setahun lalu dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu mereka bergerak dari rumah ke rumah sahaja ,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui beberapa peralatan perkhidmatan sulam kening dan bibir, rawatan kecantikan yang menggunakan suntikan cecair serta kelengkapan pemasangan pendakap gigi dipercayai dilakukan secara tidak sah.

Menurutnya, selain itu premis berkenaan juga didapati turut menawarkan rawatan lain seperti suntikan vitamin C dan pembesaran payudara.

“Premis berkenaan disyaki menjalankan rawatan kecantikan tanpa kelulusan dan kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Hasil maklumat mendapati pelanggan premis itu adalah warga tempatan dan asing dengan harga rawatan yang ditawarkan lebih murah iaitu hanya serendah RM150 rawatan kecantikan dan gigi.

“Kita tidak pasti jika barang yang digunakan diambil di pasaran gelap atau tidak dan kes ini juga akan dirujuk dengan KKM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Syamsul Badrin berkata, semua warga asing yang ditahan itu dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan selanjutnya. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini