Oleh: Fazli Ahmad
MARAN: Sembilan ditahan kerana merusuh hingga menyebabkan tiga tercedera di Sri Jaya dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abd Rahman dalam kenyataannya menafikan kononnya empat terbunuh dalam kejadian itu seperti yang tular di media sosial.
Sembilan ditahan kerana merusuh di Sri Jaya, Maran.
Sumber : Tular pic.twitter.com/LJiWGridYx
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) June 11, 2023
Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian itu disebabkan salah faham ekoran tindakan seorang individu meletak motosikal hingga menghalang lalu lintas.
Menurutnya, kejadian berlaku pada kira-kira jam satu tengah hari tadi dipercayai membabitkan sembilan individu usia antara 23 dan 59 tahun di sekitar Sri Jaya.
“Mereka disyaki terlibat dengan pergaduhan itu menyebabkan tiga mangsa cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun serta denda.
Katanya, polis memohon kerjasama orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu hingga mengugat ketenteraman awam.
“Polis turut merakam terima kasih kepada saksi kejadian kerana membantu polis mengesan dan menahan semua suspek terlibat dalam kejadian itu untuk siasatan,” katanya.
Sejak petang tadi tular di media sosial video berdurasi 25 saat serta pesanan suara mengenai pergaduhan itu.