comscore
Tumpuan :
Jenayah

Seleweng derma: SPRM beku 20 akaun lebih RM700,000

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan kira-kira 20 akaun perbankan membabitkan nilai lebih RM740,000, susulan siasatan penyelewengan dana derma awam melibatkan pasangan pempengaruh bersama dua lagi individu.

Menurut sumber, akaun yang dibekukan itu adalah akaun milik individu serta syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dana yang diterima daripada orang ramai menggunakan satu platform kutipan derma dalam talian.

“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) telah menyita dan membekukan hampir 20 akaun milik individu serta syarikat bagi membantu siasatan dijalankan.

“Kemungkinan akan ada beberapa lagi akaun perbankan yang akan turut disita serta dibekukan oleh SPRM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan pembekuan beberapa akaun tersebut.

Beliau berkata, sitaan dan pembekuan akaun terbabit dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Semalam, media melaporkan, reman empat individu termasuk pasangan suami isteri yang merupakan pempengaruh itu disambung tiga hari sehingga esok, selepas tempoh asal reman kesemua suspek tamat semalam.

Pada 10 Julai lalu, SPRM menahan kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam sejak 2020 dengan menyeleweng kutipan derma yang tidak disalurkan dengan cara yang betul.

Dianggarkan kutipan derma terbabit mencecah kira-kira RM3 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini