Tumpuan :
Jenayah

‘Scammer’ novel ditahan tipu 176 pembeli berjumlah RM19,059

Foto hiasan

KOTA BHARU: Sejumlah 176 aduan dibuat terhadap seorang pembantu kedai yang didakwa menipu dalam urusan penjualan novel.

Kegiatan itu dilakukan wanita berusia 26 tahun sejak Februari lalu membabitkan nilai transaksi sebanyak RM19,059 yang dibuat oleh pembeli.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, daripada 176 aduan itu, satu diterima di negeri ini dan pihaknya segera mengambil tindakan.

“Kita dapat mengesan wanita ini yang bekerja di Kuala Lumpur sebelum ditahan untuk siasatan berhubung aduan itu.

“Suspek aktif menjalankan aktiviti sebagai ‘scammer novel’ ini sejak Februari lalu dan sudah menerima bayaran berjumlah RM19,059 daripada 176 individu bagi urusan pembelian novel dan dipercayai novel berkenaan tidak diterima pelanggan.

“Bayaran dibuat kepada akaun bank milik rakan suspek sebelum memindahkannya kepada akaun suspek,” katanya memetik laporan BH Online.

Azman berkata, suspek ditahan reman selama dua hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 16(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran yang dibuat dan menyelidik terlebih dulu sebelum membuat urusan jual beli secara dalam talian.

“Kita menerima banyak aduan mengenai kes scammer namun untuk scammer novel sebegini, ini kali pertama dan diharapkan orang ramai lebih berwaspada dengan penipuan yang dibuat secara dalam talian,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini