BATU PAHAT: “Saya tersangat yakin teman lelaki Bella tahu mengenai kehilangan adik saya. Tapi, sekarang selepas 38 hari, apa yang kami dapat?”
Demikian luahan Norhisham Samsusah susulan penemuan satu rangka dipercayai adiknya Mila Sharmila atau lebih dikenali sebagai Bella di sebuah rumah sewa di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah pada Jumaat lalu.
Meskipun belum ada pengesahan lagi, beberapa laporan awal menyebut bahawa salah seorang suspek dalam kes itu sendiri yang memberitahu pihak polis mengenai kedudukan rangka itu.
Tambah Norhisham, 36, mereka sekeluarga menuntut keadilan buat Bella seandainya itu pengakhiran buat adiknya.
“Kami sangat kecewa walaupun sudah pelbagai usaha dibuat untuk mencari bukti individu terakhir bersama Bella itu adalah pelaku.”
Menurutnya lagi, dia dan Bella sentiasa berkongsi segala perkara yang hendak dilakukan dan yakin adiknya tidak hilang begitu sahaja.
Katanya, individu terbabit dikatakan banyak mereka-reka cerita mengenai adiknya walaupun dia tahu apa yang sebenarnya berlaku.
“Saya dah cuba beli telefon bimbit baru untuk menyalin semula maklumat di telefon asal Bella. Tujuannya adalah untuk melihat sejauh mana kebenaran seperti diberitahu lelaki itu kepada pihak berkuasa.”
“Apa yang saya dapat ialah semua jawapan diberikan individu itu jauh menyimpang. Saya dengan emak (Noraini Salleh) terpaksa turun naik balai untuk mengetahui perkembangan semasa adiknya sepanjang tempoh itu,” katanya menerusi coretan di Facebook.
Semalam, Norhisham dipetik sebagai berkata cebisan kain yang ditemui pada rangka itu berkemungkinan besar adalah pakaian yang dipakai Bella 32, ketika dia dilaporkan hilang pada 14 Disember lalu.
Ketika ditanya media berhubung perkembangan kes itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah dipetik sebagai berkata setakat ini tiga orang suspek telah ditahan.
Mereka termasuk teman lelaki Bella dan bapa saudara kepada teman lelakinya itu.
Mengikut laporan, rangka yang ditemukan itu dalam keadaan tidak sempurna dan satu bedah siasat sudah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, pagi tadi.
Kata Ismail, sampel patologi dari Jabatan Forensik HSI juga sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti si mati.