Tumpuan :
Jenayah

‘Saya sangka dia tidak lagi tinggal bersama anaknya’ – Jiran suspek bunuh ibu

Lokasi rumah suspek kes bunuh ibu di Taman OUG. -FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: “Kali terakhir saya melihat dia (mangsa) sebelum PKP (perintah kawalan pergerakan).

“Sejak itu saya tidak berjumpa dengannya dan menyangka dia tidak lagi tinggal bersama anaknya,” kata seorang lelaki berhubung kes penemuan mayat seorang wanita dalam peti sejuk beku di sebuah rumah di Taman OUG di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi tadi, polis menemukan mayat wanita berusia 80-an itu yang dipercayai dibunuh anak lelaki berusia 50-an pada Mac 2021.

Lelaki enggan dikenali berusia 30-an yang juga jiran suspek berkata, dia terkejut apabila melihat kehadiran pasukan berkuasa dan dimaklumkan mengenai penemuan mayat.

“Sebelum ini memang saya pernah nampak wanita itu (mangsa) datang ke rumah anaknya (suspek) di sini tapi sejak PKP, saya dah tak jumpa dia lagi.

“Mangsa tidak tinggal bersama anak kerana ada rumah sendiri cuma kadang-kadang datang melawat kerana anaknya tinggal sendirian dan tidak berkahwin,” katanya ketika ditemui Harian Metro di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Menurut lelaki itu, jirannya jarang keluar dan pintu rumahnya juga sentiasa tertutup.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak pernah mengesyaki apa-apa dan melihat sebarang kelakuan pelik oleh jirannya itu.

“Dia (suspek) baik saja dengan jiran, kalau saya di luar rumah dan terserempak dengannya pasti dia menegur serta bertanya khabar.

“Lagipun dia jarang keluar dan saya faham mungkin disebabkan oleh faktor kesihatannya yang menghidap angin ahmar,” katanya.

Selain itu, dia berkata, rumah lelaki itu pernah cuba dipecah masuk sekumpulan individu namun disedari jiran berhampiran menyebabkan mereka melarikan diri.

Katanya, susulan insiden itu jirannya enggan membuat laporan polis kerana tiada kerugian dialami.

Terdahulu, media melaporkan, seorang lelaki tergamak membunuh ibunya sebelum disembunyikan dalam peti sejuk beku sejak tiga tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini