GOMBAK: Saksi kejadian bunuh di Kampung Sungai Choh, Rawang, semalam mendakwa ternampak suspek mengheret mayat mangsa ke belakang rumah.
Ismail, 30-an berkata, dia mendengar bunyi seperti orang bergaduh dari rumah suspek sejak awal pagi, namun tidak mengendahkannya kerana mendakwa jirannya itu kerap bergaduh.
“Mereka tinggal di sini sudah agak lama. Orang-orang kampung mengenali keluarga suspek tetapi tidak masuk campur urusan mereka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Menurutnya, selepas bunyi bising itu berlarutan, dia mengambil keputusan untuk menjenguk ke rumah jirannya itu dan ternampak mangsa mengalami kecederaan teruk.
“Saya nampak mereka memukul mangsa malah salah seorang suspek lelaki mengajak saya untuk menyertainya memukul mangsa.
“Saya tidak mengenali mangsa, kami tidak pernah nampak dia di sini, mungkin dia orang luar kerana adik-beradik suspek ini yang di sini semuanya kami kenal,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi saksi, Fir, 35, memberitahu, dia turut mendengar bunyi kekecohan dari kediaman suspek sejak pagi, namun menganggap ia perselisihan faham biasa antara keluarga itu.
Katanya, ketika berehat di hadapan rumah selepas pulang dari kerja, dia terlihat salah seorang suspek menaiki motosikal dengan membawa cangkul dan penyodok kira-kira jam 5 petang.
“Saya nampak dia heret mayat ke belakang rumah” – Saksi kejadian
Saksi kejadian bunuh di Kampung Sungai Choh, Rawang, semalam mendakwa ternampak suspek mengheret mayat mangsa ke belakang rumah. pic.twitter.com/UR5OBPD4Kt
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) December 24, 2023
“Saya pulang dari kerja 4.30 petang macam itu, kemudian duduk berehat di hadapan rumah dan terlihat adik perempuan suspek menaiki motosikal sambil membawa cangkul.
“Selalunya dia akan tegur ‘bossku’ begitu, tetapi kali ini dia terus sahaja berlalu pergi, tetapi saya tidak lah mengesyaki apa-apa,” katanya.
Tambahnya, tidak lama kemudian dia dimaklumkan oleh jirannya bahawa mangsa dibelasah dengan teruk sehingga separuh mati, di lorong belakang rumah suspek.
“Saya pun pergi ke rumah suspek dengan niat untuk meredakan keadaan, tetapi bila sampai keadaan sudah senyap sunyi.
Sebelum sempat mereka melaporkan kejadian itu, kawasan berkenaan sudah dipenuhi dengan anggota polis selepas laporan diterima daripada isteri salah seorang suspek.
Katanya, mayat mangsa ditanam di dalam sebuah lubang cetek yang digali di kawasan belukar kira-kira 50 meter dari rumah suspek.
“Kami semua agak terkejut dengan kejadian ini dan tidak menyangka mereka tergamak melakukan perbuatan itu.
“Ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku di sini. Di sini setiasa aman dan tenang sahaja kerana penduduk tanah lot ini tidak ramai pun,” katanya.