PETALING JAYA: Polis memberkas seorang lelaki kerana disyaki memperdaya seorang ibu untuk membuat pembayaran RM3.5 juta kononnya untuk membebaskan anaknya yang ditahan di Penjara Kajang.
Timbalan Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata suspek berusia 35 tahun itu ditangkap di sekitar Bandaraya Johor Bahru, pada 16 Jun lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Johor dengan dibantu JSJ Bukit Aman.
“Suspek memperdaya wanita itu dengan menyatakan dia boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes bagi membebaskan anak pengadu dan menyelesaikan kes tersebut secepat mungkin dengan syarat pengadu memberikan sejumlah wang.
“Percaya dengan kata-kata suspek, pengadu telah menyerahkan wang tunai kepada suspek berjumlah RM3.5 juta secara berperingkat pada Mac 2020 hingga Jun 2023,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, anak mangsa ditahan atas kesalahan bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), sejak 2019.
Mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati anaknya masih tidak dibebaskan.
Kumar berkata, kes disiasat mengikut kesalahan tipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.