Tumpuan :
Jenayah

Samun Kuala Kangsar: Tiga suspek ditahan, barang kemas tiada

KUALA KANGSAR: Tiga lelaki ditahan dipercayai terbabit kes samun bersenjata membabitkan barang kemas bernilai kira-kira RM1.4 juta yang dilarikan semalam berhampiran sebuah kedai emas di pusat bandar Kuala Kangsar, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata bagaimanapun ketika pengangkapan tiga lelaki itu yang dilakukan di Shah Alam, Selangor, polis tidak menemukan barang kemas yang dilarikan itu.

 

Katanya, tiga suspek berusia antara 20 hingga 50 tahun itu dibenarkan oleh Mahkamah Majistret di sini untuk melalui tempoh tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 13 November depan.

“Buat masa ini, barang kemas masih belum dijumpai,” katanya dihubungi hari ini.

Semua suspek warga tempatan itu diberkas di sebuah lokasi di Shah Alam sekitar jam 2.10 petang semalam iaitu selepas hampir tiga jam kejadian samun itu dilaporkan.

Semalam, akhbar ini melaporkan polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang melakukan samun bersenjata ke atas dua lelaki berhampiran sebuah kedai emas di pusat bandar, di sini, pagi semalam dengan melarikan sejumlah barang kemas dianggarkan bernilai RM1.4 juta.

Semalam, Omar Bakhtiar mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.22 pagi yang menyatakan dua jurujual yang membekalkan barang kemas dari ibu kota ke Kuala Kangsar disamun beberapa lelaki bertopeng dan bersenjata.

Video detik kejadian memaparkan sekumpulan individu menyamun sebuah kereta yang diletakkan di tempat parkir berhampiran premis kedai emas yang terletak berdekatan pusat bandar Kuala Kangsar itu turut berjaya dirakam warganet dan tular di laman sosial.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini