JITRA: Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah dengan menyerbu sebuah rumah yang dijadikan mini makmal di Jalan Bukit Puteri, Bandar Puteri Jaya di Sungai Petani, Khamis lalu.
Serbuan dilakukan susulan penahanan dua lelaki berusia 53 dan 36 dalam sebuah Perodua Myvi di Jalan Kampung Gelong Rambai, Padang Limau, Tunjang, di sini, pada 7 petang hari sama.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, penahanan itu berdasarkan maklumat awam dan hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui sebuah beg kertas yang di dalamnya mengandungi dadah pelbagai saiz disyaki heroin seberat 4,607.21 gram.
“Susulan itu, pegawai dan anggota kami melakukan serbuan di sebuah rumah di Sungai Petani pada 8.55 malam hari sama dan menemui 22 pil disyaki yaba seberat 2.47 gram dalam satu peket plastik lutsinar.
“Turut ditemui, satu plastik lutsinar mengandungi dadah jenis kafein anggaran berat 966 gram serta dadah jenis heroin seberat 6,711 gram dan lima bungkusan plastik mengandungi ketulan ganja mampat dianggarkan 5,088 gram,” katanya pada sidang media di IPD Kubang Pasu, hari ini.
Mohd Taufik berkata, pemeriksaan juga mendapati rumah itu disyaki disewa untuk dijadikan mini makmal bagi memproses dadah sejak September lalu.
“Turut dirampas, pelbagai peralatan untuk memproses dadah seperti tukul besi, alat penimbang digital, empat besen aluminium, senduk kayu, dua balang kaca yang mengandungi cecair bahan kimia dan meja kayu.
“Berdasarkan siasatan, lelaki berusia 53 tahun yang berasal dari Air Hitam, Pulau Pinang itu mempunyai sembilan rekod kesalahan narkotik dan tidak bekerja.
“Seorang lagi yang berusia 36 tahun mempunyai empat rekod jenayah narkotik dan kedua-dua mereka positif dadah jenis morfin,” katanya.
Mohd Taufik berkata, modus operandi mereka adalah memproses dadah diperoleh di rumah berkenaan yang dijadikan mini makmal sebelum diedar ke Kubang Pasu.
Beliau berkata, namun pihaknya masih menjalankan siasatan memandangkan suspek dalam kes ini agak berusia iaitu 53 tahun dan pihaknya percaya dia mempunyai pengetahuan memasak heroin.
“Maklumat yang kami terima pada awalnya bukan berkaitan mini makmal tapi berkaitan pengedaran dadah,
“Namun, hasil soal siasat dua suspek barulah kita temukan mini makmal itu.
“Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM71,500 yang boleh digunakan kira-kira 30,000 orang penagih dadah,” katanya.
Mohd Taufik berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.