SEREMBAN: Sanggup sewa banglo tiga tingkat sejak setahun lalu semata-mata untuk menyimpan rokok seludup bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Perkara itu dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan dalam serbuan di rumah kongsi warga asing di Shah Alam, Selangor, awal Mei lalu, yang berjaya merampas rokok dan bir dianggarkan lebih RM600,000.
Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata, serbuan pertama dengan pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Hyundai Accent dan kantin di kawasan penempatan pekerja warga asing pusat bandar Shah Alam.
“Hasil pemeriksaan rapi, pasukan menjumpai sejumlah 14,500 paket bersamaan 288,800 batang rokok pelbagai jenama dan 216 tin atau 99.36 liter bir pelbagai jenama dan saiz.
“Kesemua rokok dan bir yang dijumpai adalah barang larangan import di bawah Butiran 1, Bahagian II Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kesemua barang eksibit dan kereta yang disita dibawa balik ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan bersama seorang suspek warga Bangladesh untuk siasatan lanjut.
“Susulan penahanan seorang suspek berusia 40-an ini, pasukan melakukan pemeriksaan ke sebuah banglo di Setia Alam, Shah Alam, kira-kira jam 10 malam, hari yang sama.
“Hasil pemeriksaan rapi ke atas banglo itu, pasukan menjumpai 485,000 batang rokok putih pelbagai jenama. Kesemua rokok yang dijumpai adalah disyaki barangan larangan import dan dibawa balik ke pejabat untuk siasatan lanjut,” katanya.
Jelas beliau, jumlah keseluruhan nilai sitaan rokok, bir dan kereta di kedua-dua lokasi termasuk cukai adalah dianggarkan sebanyak RM623,137.20.
Tambahnya, modus operandi sindiket adalah menyeludup sebelum menyimpan rokok di kawasan penempatan pekerja warga asing dan banglo yang dikawal warga asing sebelum diedarkan serta dijual dengan harga yang murah di pasaran tempatan.
“Rokok ini biasanya dijual 20 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran dan sasaran mereka adalah pembeli warga asing. Kami masih memburu anggota sindiket ini yang didalangi warga Bangladesh.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.