Tumpuan :
Jenayah

Rumah ‘hantu’ jadi stor rokok seludup terbesar di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pulau Pinang berjaya merampas rokok putih bernilai lebih RM5.12 juta, Selasa lalu hasil risikan dilakukan selama empat hari.

Ia sekali gus menyaksikan rampasan pada serbuan Op Kontraban itu adalah yang terbesar di Pulau Pinang bagi tahun ini.

Komandernya, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, terdahulu, pihaknya melakukan risikan terhadap sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Choong Lye Hock, Tanjung Tokong, di sini, pada 10 November lalu.

Katanya, risikan mendapati premis yang dijadikan stor simpanan rokok itu tidak berpenghuni.

“Kami menyerbu premis terbabit jam 6 petang, dan menemukan 4.9 juta batang rokok putih.

“Tiada tangkapan dibuat dan kami masih mengesan pemilik premis terbabit,” katanya pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban, di sini, hari ini.

Shamsol berkata, kesemua rokok putih itu dipercayai diseludup dari negara jiran menerusi jalan laut dan disimpan di rumah itu sebelum diedar.

“Kesemua kotak berisi rokok dibalut dengan plastik bagi mengelakkan ia daripada basah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini