Tumpuan :
Jenayah

Rugi lebih RM1.4 juta diperdaya jual beli saham

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Seorang pengurus insurans kerugian lebih RM1.4 juta selepas terpedaya dalam pelaburan jual beli saham secara dalam talian yang menawarkan pulangan keuntungan sehingga 580 peratus dalam masa dua bulan.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata mangsa yang berumur 59 tahun memaklumkan menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp pada November tahun lalu daripada seorang individu yang menawarkan pelaburan dalam jual beli saham itu.

“Mangsa kemudian diarah memuat turun satu aplikasi untuk tujuan pendaftaran dan memantau akaun pelaburannya.

“Tertarik dengan keuntungan besar dijanjikan, mangsa membuat 15 transaksi pembayaran ke beberapa akaun bank berbeza dari November tahun lalu hingga awal bulan ini, dengan jumlah keseluruhan RM1,400,500.

“Selepas bayaran dibuat, mangsa membuat semakan melalui aplikasi itu yang menunjukkan pelaburannya mencatatkan keuntungan sebanyak RM4.7 juta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kumar berkata, mangsa cuba mengeluarkan keuntungan itu dan hanya menerima bayaran RM7,500.

Katanya, mangsa memaklumkan, suspek kemudian meminta bayaran tambahan sebanyak RM80,000 sebagai syarat untuk mengeluarkan keseluruhan keuntungan.

“Mangsa yang curiga tidak membuat pembayaran tambahan berkenaan dan segera membuat laporan polis semalam. Jumlah kerugian keseluruhan yang dialami adalah RM1,393,500.

“Susulan itu, orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat. Mereka disaran membuat semakan dengan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum meneruskan sebarang transaksi,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini