comscore
Tumpuan :
Jenayah

Rompakan pelantar minyak: Empat warga tempatan ditahan Maritim Malaysia

 

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KOTA TINGGI: Empat warga tempatan selepas disyaki melakukan rompakan berkumpulan dalam satu kejadian di antara jam 12.30 tengah malam 24 April hingga jam 4.35 pagi 25 April semalam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS).

Maritim Malaysia Negeri Johor menerima aduan pada jam 10.30 malam, 24 April mengenai insiden rompakan yang berlaku di atas pelantar Aurora Producer 1 di kedudukan 0.7 batu nautika timur laut Jeti Pelabuhan Tanjung Langsat.

Sehubungan itu, sebuah bot ronda Maritim Malaysia diarahkan ke lokasi kejadian dan menemui sebuah bot gentian kaca bersama empat orang yang disyaki berada dalam keadaan mencurigakan.

Kesemua suspek warga tempatan yang berumur diantara 27 tahun hingga 47 tahun berjaya diselamatkan oleh bot ronda Maritim Malaysia seterusnya ditahan dan dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

Hasil pemeriksaan awal di pelantar Aurora Producer 1 menemui dua orang kru warga tempatan berumur 24 tahun dan 32 tahun yang disyaki menjadi mangsa rompakan.

Ketika kejadian, pelantar dinaiki tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang telah menyerang dan mengikat kaki, tangan dan mulut mangsa sebelum dikurung di dalam sebuah kabin di atas pelantar tersebut.

Mangsa terkurung selama dua jam sebelum berjaya melepaskan ikatan dan bersembunyi bagi menunggu ketibaan pihak berkuasa.

Suspek dipercayai cuba mencuri kabel dan perkakasan kerja dan dua buah telefon bimbit milik mangsa telah dilaporkan hilang.

Jumlah dan barang perkakasan pelantar yang disyaki dicuri masih dalam siasatan.

Kesemua suspek direman lima hari bagi siasatan di bawah Seksyen 391 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan berkumpulan.

Loading...
Terkini