Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Tiga penjenayah warga asing disyaki terbabit dengan enam kes rompakan kedai emas membabitkan kerugian lebih RM4 juta ditembak mati di Kilometer 17, Jalan Kuantan – Pekan di Ubai, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, semua suspek mati selepas berbalas tembakan dengan polis dan kejadian berlaku ketika kumpulan penjenayah terbabit sedang merancang merompak sebuah kedai emas di Pekan.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 11:30 malam tadi, polis mengesan sebuah Proton Waja dinaiki suspek di Pekan dan selepas memperkenalkan diri penjenayah bertindak memecut kereta ke arah Kuantan.
Katanya, ketika polis mengejar kereta terbabit, suspek bertindak menghimpit kenderaan dinaiki polis dan menyebabkan Proton Waja dinaiki tiga penjenayah terbabit terhenti.
“Ketika polis hendak melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit, suspek bertindak melepaskan tembakan dari dalam kereta,”
“Polis bertindak membalas tembakan itu dan menyebabkan dua lelaki warga Vietnam dan pemandu kereta terbabit seorang lelaki warga Bangladesh berusia antara 34 dan 44 tahun ditembak mati,”
“Hasil pemeriksaan dalam kereta berkenaan polis menemui sepucuk pistol jenis ‘Glock 17″, enam peluru di dalam magazine, satu peluru dalam ‘chamber’ dan tiga kelongsong peluru.” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurut Yahaya, hasil pemeriksaan lanjut dalam kereta itu polis menemui pelbagai peralatan dipercayai untuk melakukan kegiatan kegiatan pecah rumah dan kedai serta dua parang panjang.
Katanya, semua suspek disyaki melakukan sekurang-kurangnya enam rompakan kedai emas di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak serta terbabit dengan beberapa kes jenayah lain.
“Kumpulan penjenayah terbabit dikenali ‘Geng Centro’ diketuai soerang lelaki warga Vietnam dan mereka dipercayai melakukan kegiatan jenayah sejak Jun 2023.” katanya.
Siasatan lanjut untuk mengesan kemungkinan ada saki baki ahli kumpulan terbabit sedang dilakukan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.