PETALING JAYA: Penipuan dalam talian atau scammer di Selangor menyebabkan mangsa RM92.8 juta dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, sekali gus menyumbang 76.9 peratus kepada kes komersial di negeri ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Azman Ali, berkata bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, JSJK Selangor merekodkan 2,011 kes penipuan dalam talian dan 601 kes penipuan bukan dalam talian.
“Trend kini sudah berubah seiring perkembangan teknologi menyebabkan penipuan sekarang sudah tidak perlu dilakukan secara bersemuka.
“Malah, mangsa turut tidak mengenali suspek kerana semuanya dilakukan secara dalam talian,” katanya ketika bercakap sebagai panel pada Forum Kesedaran Anti-Scam, di sini, hari ini.
Azman berkata, latar belakang mangsa bergantung pada jenis penipuan, sebagai contoh Macau Scam, ia menyasarkan kepada individu yang mempunyai simpanan duit banyak, manakala penipuan e-dagang membabitkan pembeli dan penjual.
Beliau berkata, penjenayah menggunakan pelbagai helah untuk mendapatkan maklumat perbankan daripada mangsa dan lebih merumitkan keadaan apabila mangsa lambat menyedari wang mereka, lesap.
“Taktik terbaru scammer kini ialah mereka akan bagi pautan dan meminta mangsa memberi maklumat peribadi. Kadang-kadang, mereka bagi pautan kononnya Bank Negara Malaysia, tetapi sebenarnya ia adalah pautan scammer,” katanya.
Beliau berkata, sindiket penipuan terbabit juga menggunakan nombor telefon yang diperoleh secara haram dan akaun keldai, yang `dibeli’ dengan tawaran RM500 seorang kepada pemilik asal akaun itu untuk memindahkan wang haram.
“Malah, wang yang dimasukkan ke dalam akaun keldai akan dipindahkan ke beberapa akaun keldai lain sebelum akhirnya dikeluarkan dalam tempoh yang singkat menyebabkan ia sukar dijejaki,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata sebanyak 435 kes penipuan dalam talian dilaporkan di daerah itu dari Januari hingga Ogos lalu.
Sepanjang tempoh itu, katanya, polis menahan 387 individu yang disyaki terbabit dalam kes itu dan 224 kes berjaya dituduh di mahkamah.
“Kes tertinggi jenayah scam membabitkan penipuan atau penyamaran melalui telefon, dengan 150 kes diterima membabitkan kerugian lebih RM9 juta,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, mereka yang dikesan `menjual’ akaun boleh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, manakala mereka yang memberi butiran akaun bank kepada scammer juga melakukan kesalahan di bawah Akta Komputer. – BERITA HARIAN