KUALA LUMPUR: Sejumlah RM62 juta nilai kerugian direkodkan akibat penipuan pembelian dalam talian atau e-dagang sehingga 15 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, angka itu dijangka terus meningkat menjelang akhir Disember ini serta tahun akan datang selaras pertambahan platform e-dagang yang semakin popular dalam urus niaga masa kini.
“Penipuan yang berpunca dari iklan melalui Facebook mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 3,457 kes diikuti WhatsApp dengan 1,168 kes.
“TikTok turut mencatatkan 800 kes diikuti aplikasi Telegram sebanyak 771 kes menjadikan jumlah keseluruhan penipuan yang direkodkan adalah 6,909 kes,” katanya.
Menurutnya, sebagai langkah pencegahan, pembeli dalam talian diingatkan untuk mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan.
Sementara itu mengulas medium penipuan pelaburan, Ramli berkata, pihaknya mengenal pasti enam medium utama digunakan dalam penipuan pelaburan.
“Aplikasi Telegram direkodkan menjadi pilihan utama sindiket penipuan dengan 1,832 kes atau bersamaan 31.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan.
“Manakala Facebook dan whatsapp masing-masing merekodkan 1,436 dan 1,378 kes.
“Sebagai langkah pencegahan, orang ramai adalah dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dan berwaspada semasa menggunakan aplikasi sebegini kerana kebanjiran kandungan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya telah mengundang satu ancaman yang membahayakan,” katanya yang dipetik BH.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.