comscore
Tumpuan :
Jenayah

RM5 juta lesap sejak 3 Januari lalu

Awas ketika memasukkan wang ke dalam akaun tidak dikenali. – Gambar hiasan

JOHOR BAHRU: Lebih RM5 juta kerugian dicatatkan dalam 12 laporan yang diterima polis Johor berhubung penipuan pelaburan mata wang Kripto secara dalam talian melalui laman Accerx.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata laporan itu adalah bagi tempoh antara 3 Januari lalu hingga kelmarin dan dibuat oleh warga tempatan berusia antara 46 tahun hingga 71 tahun.

“Semua mangsa mendakwa melihat iklan berkaitan pelaburan mata wang Kripto berkenaan di laman sosial yang menawarkan keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Ketua Polis Johor, M Kumar

Menurut Kumar, dalam semua kes itu mangsa kemudiannya diarah menekan pautan yang diberikan dan seterusnya dibawa ke dalam kumpulan WhatsApp yang mana mereka diberikan penerangan berkenaan pelaburan yang ditawarkan dan keuntungan yang bakal diperolehi.

Beliau berkata mangsa turut diarah memuat turun dan mendaftar di laman Accerx bagi memantau pelaburan masing-masing.

Terpedaya dengan keuntungan yang dijanjikan, mangsa membuat pembayaran ke akaun-akaun yang diarahkan bagi tujuan pembelian mata wang Kripto.

Malah mangsa dalam setiap laporan mereka turut mengakui semakan mereka di laman Accerx mendapati pelaburan mereka menunjukkan keuntungan yang berlipat kali ganda.

“Namun begitu, mangsa mula sangsi kerana wang keuntungan gagal dikeluarkan atas pelbagai alasan termasuklah dikehendaki membuat sejumlah bayaran sebelum wang keuntungan dibayar atau jika gagal dibayar, wang pelaburan mereka akan hangus,” jelasnya.

Setiap mangsa mengalami kerugian antara RM177,000 hingga RM1,780,000 seorang.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Kumar menasihatkan orang ramai lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada tawaran pelaburan dalam talian yang dipromosikan melalui media sosial.

“Dapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersial terkini dengan mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok,” tambahnya.

Selain itu, orang ramai diseru untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian ‘Semak Mule’ sebelum membuat sebarang pembayaran serta muat turun aplikasi ‘Whoscall’ bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.

Dan sekiranya menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dengan seberapa segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang.

Loading...
Terkini