comscore
Tumpuan :
Jenayah

RM3.8 juta milik pesara lesap angkara phone scam, baki tinggal RM79.59

Foto hiasan

PETALING JAYA: Seorang wanita kehilangan wang persaraan berjumlah RM3.839 juta lesap akibat terpedaya dengan  sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata mangsa diarah memindahkan semua wangnya ke dalam akaun bank baharu selepas didakwa terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan mangsa berusia 70 tahun yang menetap di Subang Jaya, membuat laporan polis baru-baru ini selepas menyedari ditipu sindiket.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

Dalam laporannya, mangsa berkata dia menerima panggilan telefon dari nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai syarikat insurans pada November tahun lalu.

Pemanggil menyatakan terdapat tuntutan insurans yang dibuat menggunakan nama pengadu.

Panggilan kemudian kononnya disambungkan kepada pihak polis dan dimaklumkan nama pengadu terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan boleh ditangkap.

Pemanggil seterusnya menyatakan untuk mengesahkan mangsa tidak terlibat jenayah,  akaun bank dan wang milik mangsa perlu disiasat.

Mangsa kemudian diarah membuka satu akaun bank baharu  dengan mendaftarkan nombor telefon yang diberikan suspek untuk urusan perbankan internet.

Mangsa juga diminta menyerahkan nombor akaun bank dan hasil pendapatannya dengan alasan supaya memudahkan siasatan.

Tanpa mengesyaki dirinya ditipu, mangsa bertindak mengikut arahan suspek untuk memindahkan kesemua wang ke dalam akaun baharu itu.

Mangsa juga tidak dibenarkan untuk mengakses akaun banknya selama beberapa bulan selain diarah menghapuskan semua resit kemasukan wang.

Pengadu yang panik, ketakutan dan kegusaran telah mengikut arahan suspek supaya memindahkan wang simpanan persaraan, simpanan tetap, akaun-akaun amanah, Tabung Haji dan gadaian emas berjumlah RM3.8 juta.

Semalam ketika mangsa pergi ke bank dan membuat semakan akaun, dia terkejut apabila bakinya hanya RM79.59 dan sedar dirinya ditipu.

Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak melayan panggilan telefon daripada individu tidak dikenali kerana pihak berkuasa tidak akan menjalankan siasatan menerusi panggilan telefon.

Loading...
Terkini