comscore
Tumpuan :
Jenayah

RM250,000 wang peninggalan suami lesap ditipu sindiket

MUAR: Seorang wanita warga emas berputih mata apabila wang simpanan peninggalan suami berjumlah hampir RM250,000 lesap selepas diperdaya sindiket menyamar pegawai polis.

Wanita berusia 64 tahun yang juga suri rumah menerima panggilan lelaki mendakwa dia terbabit dalam kegiatan haram di sebuah bandar di utara Semenanjung.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata suspek memperkenalkan diri sebagai wakil Jabatan Komunikasi Digital Putrajaya kepada mangsa.

Beliau berkata, suspek memberitahu nombor telefon mangsa terjebak dalam pelbagai kegiatan melanggar undang-undang.

“Siasatan polis mendapati panggilan itu dibuat pada 20 Julai lalu yang kemudiannya disambung kepada seorang individu yang memperkenalkan diri ‘Inspektor’.

“Suspek meminta mangsa memberikan butiran perbankan dan peribadi kepada ‘inspektor’ terbabit.

“Tindakan diambil mangsa disebabkan dia takut dan bimbang wang dalam akaunnya disita pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raiz Mukhliz berkata, mangsa mengikuti arahan diberikan serta memindahkan kesemua wang simpanan ke dalam lima akaun berbeza.

Menurutnya, dalam tempoh itu, sebanyak 47 transaksi dilakukan mangsa dengan jumlah keseluruhan ialah RM249,700.

“Pada 25 Julai, mangsa sekali lagi diminta memasukkan wang RM10,000 bagi tujuan penyelesaian kes.

“Namun, mangsa mulai curiga dan tidak mengendahkan permintaan lelaki itu dan mula berasa ditipu.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai menggunakan perkhidmatan dalam talian Semak Mule menerusi laman web https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat bayaran atau transaksi.

Mereka juga boleh menurunkan aplikasi “whoscall” bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini