Tumpuan :
Jenayah

Replika kuda hiasan dilarikan 

Replika kuda di sebuah taman perumahan di Taman Sri Pulai Perdana, Iskandar Puteri yang ditemui semula namun alami kerosakan. – Foto tular

ISKANDAR PUTERI: Replika kuda hiasan di sebuah taman perumahan dekat Taman Sri Pulai Perdana, di sini, hilang dipercayai dicuri dua suspek sebelum ditemui semula kira-kira satu kilometer dari lokasi asal.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 8.29 pagi kelmarin daripada seorang lelaki berusia 60 tahun.

“Lelaki itu memaklumkan pengawal keselamatan bertugas di pos pengawal ‘Perdana Terraces’ mendapati replika kuda itu dilarikan suspek tidak dikenali kira-kira jam 6 pagi, menggunakan sebuah lori dipercayai lori pengangkut sampah.

“Pengadu bersama pengawal keselamatan itu kemudian cuba mengejar suspek dan mencari lori berkenaan, namun tidak berjaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, replika kuda itu kemudian ditemui semula di Jalan Johor Bahru-Pontian selepas dipercayai terjatuh akibat tali pengikat putus sebelum ditinggalkan di tepi jalan.

Katanya, setakat ini polis belum dapat mengenal pasti suspek dan tindakan mengesan lori digunakan dalam jenayah itu sedang dibuat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, insiden itu tular di media sosial selepas dimuat naik seorang pengguna yang mendakwa walaupun replika kuda itu berjaya dikembalikan ke tempat asal, namun ia mengalami kerosakan.

Loading...
Terkini