KUALA LUMPUR: Tempoh reman terhadap lelaki yang ditahan selepas dipercayai memukul dua pekerja restoran di Cyberjaya, pada 16 Mac lalu, disambung dua hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, permohonan sambung reman terhadap suspek berusia 50 tahun itu dibuat selepas reman pertama selama tiga hari tamat hari ini.
“Suspek disambung reman selama dua hari sehingga 21 Mac ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Kami sedang mengemas kini siasatan berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan gara-gara menegur pelanggan mengambil lauk menggunakan jari, dua pekerja restoran cedera dibelasah tiga lelaki dipercayai mabuk di Cyberjaya pada Khamis lalu.
Wan Kamarul dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurus restoran mengenai kejadian itu sebelum menahan tiga suspek berusia 50 hingga 51 tahun di dua lokasi berasingan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek datang ke restoran itu dan ketika berada di bahagian nasi kandar, seorang suspek menggunakan jarinya untuk mengambil lauk.
Katanya, teguran itu membuatkan suspek berang dan bertindak agresif dengan memukul pekerja menyebabkan mangsa lebam pada leher, kepala, bahu kiri dan telinga akibat dipukul selain diugut.
Sebelum ini, satu video memaparkan dua lelaki memukul pekerja di sebuah restoran nasi kandar sehingga mengakibatkan kekecohan dan kerosakan barangan di premis berkenaan tular di media sosial.