Tumpuan :
Jenayah

Reman CEO, 3 individu terbabit ubah wang haram disambung 3 hari – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain – Foto fail

KUALA LUMPUR: Perintah tahanan reman ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat penyiaran di Sarawak dan tiga lagi individu yang disiasat berkaitan kes pengubahan wang haram, disambung tiga hari lagi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis berjaya mendapatkan perintah melanjutan reman ke atas keempat-empat suspek sehingga Rabu ini.

“Keempat-empat suspek membabitkan CEO, isteri, anak dan adik iparnya berusia antara 20-an hingga 60-an itu sedang disiasat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman.

“Siasatan lanjut dilakukan bagi mengesan aliran transaksi wang mencurigakan dipercayai diseleweng suspek,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan lima individu berusia 26 hingga 62 tahun ditahan melalui Op Ragada di Sarawak dan Pulau Pinang.

Penahanan itu hasil maklumat risikan dan siasatan mengenai pengaliran wang mencurigakan dikenal pasti membabitkan beberapa akaun bank sejak 2017 hingga September tahun lalu.

Suspek disyaki turut menipu tender, selain menganugerahkan tender kepada diri sendiri dan ahli keluarga.

Hasil serbuan itu, polis menyita dan membekukan pelbagai aset membabitkan kenderaan, akaun bank serta dokumen dianggarkan bernilai RM17.4 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 dan Seksyen 403 akta sama, selain Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini