Tumpuan :
Jenayah

Remaja perempuan 17 tahun sudah 3 kali ditahan, ambil upah along bakar rumah

ISKANDAR PUTERI: Bukan sekali, sebaliknya sudah tiga kali remaja perempuan yang ditahan kerana disyaki melakukan khianat terhadap rumah peminjam wang along dengan membaling bom petrol dan cat melakukan perbuatan itu sepanjang November lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, hasil siasatan dilakukan terhadap suspek tempatan berusia 17 tahun itu selepas ditahan polis 27 November lalu mendapati dia terbabit dalam dua kejadian membaling petrol dan cat, masing-masing di Taman Bukit Indah dan Kangkar Pulai.

“Suspek mengaku terbabit dalam kejadian yang dilaporkan pada 27 November lalu di Taman Damai Jaya, Skudai serta dua lagi kes menggunakan taktik yang sama.

“Siasatan polis mendapati suspek menerima upah daripada sindiket pinjaman wang tanpa lesen untuk membuat jenayah dengan cara khianat menggunakan api ke atas kediaman milik mangsa yang gagal melunaskan pembayaran pinjaman wang.

“Sindiket ini didapati bukan dari negara kita, sebaliknya dari Singapura berdasarkan nombor telefon yang tertera dalam nota ugutan adalah nombor talian dari republik itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini, hari ini.

Kumarasan berkata, suspek yang tidak bersekolah dan juga penganggur itu sedang mencari pekerjaan dan telah memohon pekerjaan melalui tawaran iklan di media sosial.

“Suspek kemudian ditawarkan bekerja dengan upah RM1,000 bagi membakar kenderaan atau rumah mangsa serta RM600 bagi tugasan membaling cat.

“Suspek bergerak solo dan mula melakukan kegiatan itu pada November lalu,” katanya.

Pada 28 November lalu, media melaporkan seorang remaja perempuan tempatan berusia 17 tahun ditahan polis selepas disyaki membaling bom petrol sehingga mengakibatkan sebuah kereta terbakar di Taman Damai Jaya, Skudai, 27 November lalu.

Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia negatif dadah.

Suspek kini ditahan reman selama sembilan hari bermula 27 November lalu hingga Rabu ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah melalui komunikasi tanpa nama.

Pada masa sama, Kumarasan berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas bagi menangani kegiatan membaling bom petrol dan cat kerana ia semakin berleluasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini