comscore
Tumpuan :
Jenayah

Remaja perempuan 14 tahun ditangkap berkhalwat

Sebahagian daripada tujuh individu termasuk remaja perempuan berusia 14 tahun yang dicekup kerana disyaki berkhalwat dalam sebuah rumah di Taman Kenari. – FOTO: NSTP

KULIM: Padah berdua-duaan dalam sebuah bilik, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditangkap berkhalwat bersama pasangannya.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Taman Kenari di sini kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Turut ditahan, dua lagi pasangan berusia antara 19 hingga 20-an dalam bilik berasingan dalam rumah itu manakala seorang wanita pula ditemui berada di ruang tamu.

Semasa disiasat, remaja perempuan itu mengaku baharu berkenalan dengan pasangannya berusia sekitar 20-an menerusi aplikasi WhatsApp sebelum mengikut lelaki itu tinggal di rumah berkenaan.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata pihaknya menerima maklumat awam berhubung kegiatan maksiat di rumah itu dan bergegas ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

Beliau berkata pihaknya yang turut dibantu jemaah surau taman perumahan itu kemudian membuat pemeriksaan di rumah berkenaan dan mendapati pintu tertutup.

“Sebaik mengetuk pintu dan memberi salam, rumah itu dibuka salah seorang penghuni rumah berkenaan dan membenarkan pemeriksaan dilakukan.”

“Hasil pemeriksaan menemui tiga lelaki dan empat wanita iaitu tiga pasangan ditemui dalam bilik berasingan manakala seorang wanita berusia 20-an pula ditemui berada di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya.

Anwar Sharifudin berkata lebih memeranjatkan apabila remaja perempuan yang masih bersekolah dan berusia 14 tahun itu didapati tinggal di dalam sebuah bilik bersama pasangannya.

Beliau berkata seorang lagi wanita yang ditahan itu baharu selesai pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam, IPTA; seorang lagi bekerja di sebuah kilang manakala seorang lagi tidak bekerja.

“Seorang lelaki yang ditahan itu pula bekerja di sebuah kilang manakala dua lelaki lagi bekerja sebagai pembantu restoran makan di daerah ini. Mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen atau bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki berkhalwat,” katanya.

Anwar Sharifudin berkata wanita yang ditemui di ruang tamu rumah itu turut ditahan untuk diambil keterangan selepas mendakwa teman lelakinya ketika itu keluar bekerja.

Beliau berkata ketika disoal siasat, ada yang mengaku berkenalan di tempat kerja, melalui WhatsApp dan ada yang baharu berkenalan melalui rakan.

Katanya, kesemua mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah, IPD Kulim untuk dibuat laporan tangkapan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini