Tumpuan :
Jenayah

Remaja 15 tahun ditahan, terlibat dengan geng along

Antara barangan dirampas polis daripada ahli sindiket along. Foto Ihsan polis.

JOHOR BAHRU: Empat ahli sindiket along termasuk seorang remaja berusia 15 tahun ditahan kerana disyaki membuat ugutan dengan perbuatan khianat menggunakan api ke atas di kediaman peminjam wang.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kesemua mereka yang berusia antara 15 hingga 20 tahun ditahan dalam beberapa serbuan sekitar daerah ini dan Pontian pada 15 dan 16 November lalu.

“Siasatan awal mendapati semua suspek menerima upah daripada sindiket untuk membuat ugutan jenayah dengan cara khianat menggunakan api ke atas rumah kediaman mangsa.

“Perbuatan terbabit dilakukan selepas mangsa terbabit gagal menjelaskan pembayaran pinjaman wang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis merampas pelbagai barangan seperti empat telefon bimbit, sebotol minyak petrol, sebotol cat merah, sebuah motosikal, sebuah kereta Toyota Vios, sembilan keping notis ugutan tertera talian telefon Telco Singapura serta pelbagai jenis peralatan tulis dan kertas.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kumpulan itu bergiat aktif melakukan jenayah khianat dengan api di Johor terutama daerah ini sejak Oktober lalu.

“Mereka menerima upah RM1,000 daripada sindiket bagi setiap kes yang dilakukan.

“Kebanyakan mangsa adalah warga Malaysia yang bekerja di Singapura.

“Dengan tangkapan empat ahli sindiket ini, polis berjaya menyelesaikan sembilan kes dengan modus operandi sama,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Sesyen 436 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah menerusi komunikasi tanpa nama.

“Semua suspek akan didakwa di mahkamah di sini esok,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini