Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Rangka mayat dalam bagasi, polis rakam keterangan dua individu

 

JOHOR BAHRU: Dua individu sudah dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung insiden penemuan rangka mayat seorang wanita dalam beg bagasi yang ditinggalkan di kiosk dekat perhentian bas di Kulai, minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dua individu itu adalah pemberi maklumat dan orang yang mẹmbuat laporan polis mengenai penemuan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya berharap mendapat petunjuk baharu dalam laporan bedah siasat daripada pihak hospital pada masa terdekat.

“Setakat ini, kita tidak mendapat petunjuk yang jelas untuk memudahkan siasatan dijalankan, tambahan pula cap jari mangsa itu tidak dapat dikesan.

“Apa yang kita tahu ketika ini, mangsa tidak mempunyai bekas suntikan Bacillus Calmette-gurin (BCG) di lengan, ada kemungkinan mangsa warga asing, kita belum dapat tentukan secara tepat lagi.

“Kita hanya boleh menunggu laporan penuh bedah siasat itu, cepat atau lambat itu bergantung kepada pihak hospital terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Khatam Al-Quran dan Majlis Berbuka Puasa Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor 2023 di sini, semalam.

Pada 12 April lalu, polis menerima maklumat tentang penemuan rangka mayat seorang wanita yang dipotong kepada beberapa bahagian dan dimasukkan ke dalam sebuah beg bagasi sebelum ditinggalkan di perhentian bas yang berhadapan bangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kulai itu.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mayat berkenaan menunjukkan kesan kecederaan di bahagian kepala dipercayai akibat dipukul menggunakan objek tumpul.

Polis memaklumkan rangka mayat itu adalah seorang wanita berusia 25 tahun yang dipercayai dibunuh.

Loading...
Terkini