Tumpuan :
Jenayah

Rangka bayi: Polis Perak tidak henti usaha kesan wanita warga Indonesia

Oleh: Kumaran Rajamoney

MANJUNG: Polis Perak meneruskan usaha mengesan seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai terlibat dalam penemuan mayat bayi yang tertanam di bawah simen di sebuah rumah di Ipoh, bulan lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris menjelaskan tumpuan siasatan melibatkan kedua-dua kebarangkalian iaitu samada suspek masih berada dalam negara, atau sudah kembali ke negara asal.

“Setakat ini opsyen yang dilihat melibatkan pelbagai aspek termasuk lokasi keberadaan suspek.”

“Pendekatan siasatan melibatkan kedua-duanya sedang berjalan. Kita akan maklumkan perkembangan terbaru kes ini apabila ada dapatan yang positif,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai cadangan polis bagi mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi mengesan suspek.

Datuk Azizi berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Manjung, di sini pagi tadi.

Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman secara rasmi menggalas tugas sebagai Ketua Polis Daerah Manjung yang baharu berkuat kuasa hari ini menggantikan Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah.

Untuk rekod, pada 28 Ogos, seorang lelaki menemui mayat bayi dalam keadaan berbalut kain sekitar pukul 11 pagi ketika sedang membaiki rumah di Taman Sri Rokam, yang dirancang untuk disewakannya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam satu kenyataan kemudiannya memaklumkan, menurut patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun, bayi itu adalah seorang kanak-kanak perempuan dipercayai berusia tujuh bulan dalam kandungan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini