KUALA LUMPUR: Minuman keras, gadis pelayan pelanggan (GRO) dan dadah dijadikan pelaris oleh sebuah pusat karaoke (KTV) yang menjadi tumpuan warga asing dekat Jalan Sultan Ismail di sini.
Kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menggempur premis KTV premium itu di mana harga tempahan sebuah bilik kira-kira RM5,000 hingga RM8,000.
Tinjauan di lokasi serbuan mendapati ada dulang mengandungi serbuk putih disyaki dadah di beberapa buah bilik di KTV berkenaan dipercayai digunakan oleh pengunjung terdiri daripada warga asing.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata seramai 92 warga asing ditahan dalam serbuan itu membabitkan 39 lelaki dan 53 wanita.
Katanya, dalam satu lagi serbuan yang dijalankan serentak di pusat hiburan yang terletak di tingkat 1 premis sama, JIM Kuala Lumpur menahan 15 lelaki dan 16 wanita warga asing.
“Keseluruhannya, 123 warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Tangkapan membabitkan pelbagai warga negara termasuk China, Korea, Macau, Amerika Syarikat (AS), Vietnam, Taiwan, Sierra Leone, Kanada dan Thailand,” katanya pada sidang media di lokasi operasi, di sini, awal pagi tadi.
Wan Mohammed Saupee berkata, serbuan dijalankan susulan risikan selama satu bulan dan mendapati premis berkenaan disyaki menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Katanya, ketika serbuan pelbagai alasan diberikan pendatang asing tanpa izin (PATI) antaranya ada di antara mereka mengaku memegang pas pasangan warga tempatan, namun tidak dapat menjawab apabila ditanya di mana suami atau isteri mereka.
Wan Mohammed Saupee berkata, ada juga pemegang pas pasangan yang mengakui sudah bercerai.
Menurutnya, siasatan awal mendapati GRO warga asing terbabit menerima tips bermula RM100 hingga RM5,000.
“Kesemua warga asing ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (tiada dokumen), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Selain itu, kita juga menahan pemilik dan pengurus kedua-dua premis mengikut Seksyen 55(b) dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.