comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pura-pura solat sebab nak larikan wang tabung derma masjid

Foto hiasan

SUNGAI BESAR: Berpura-pura menunaikan solat sebelum melarikan tabung derma masjid.

Itu taktik seorang lelaki berusia 25 tahun yang masuk ke dalam rumah Allah dan menyamar sebagai jemaah.

Bagaimanapun, kegiatan suspek itu dihidu polis dan suspek ditahan ketika melakukan kegiatan terbabit di Masjid Taman Padu Permai, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata sepasukan polis menjalankan operasi khas iaitu Op Pintu (Tabung Kubah) susulan beberapa kali kejadian kecurian wang dari tabung derma berlaku di beberapa buah masjid dan surau di daerah Sabak Bernam.

Beliau berkata, hasil risikan yang dijalankan pada jam 1.53 petang akhirnya berjaya memberkas suspek.

“Lelaki itu menggunakan modus operandi dengan berpura-pura menjadi jemaah. Ketika jemaah lain khusyuk menunaikan solat Jumaat, suspek bertindak meninggalkan saf dan mengambil wang yang didermakan di dalam sebuah tabung.”Hasil tindakan pantas polis berjaya menahan suspek bersama wang RM 500 di perkarangan masjid,” katanya.

Agus Salim berkata, lelaki berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, hasil soal siasat suspek mendedahkan ini adalah kejadian ketiga yang dilakukan dengan modus operandi yang sama iaitu mencuri wang tabung masjid.

“Ujian saringan awal air kencing dijalankan ke atas saspek dan didapati negatif.”Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Agus Salim berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor esok untuk permohonan reman bagi polis menjalankan siasatan lanjut dan melengkapkan kertas siasatan.

“Polis menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang salah laku jenayah supaya menyalurkannya kepada balai polis berdekatan atau terus menghubungi bilik gerakan 24 jam IPD Sabak Bernam di talian 03-32242222,” katanya.

Loading...
Terkini