comscore
Tumpuan :
Jenayah

Punca kewangan pengasas, pemegang saham syarikat penerbangan disiasat polis

Pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan bersama isteri dan anak lelaki mereka direman empat hari mulai semalam.

KUALA LUMPUR: Bukit Aman sedang menyiasat punca kewangan pengasas bersama yang juga pemegang saham sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang ditahan kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan polis dibuat secara menyeluruh, termasuk bagaimana syarikat penerbangan itu tertubuh.

“Siasatan kita tidak terhad, akan dijalankan secara menyeluruh, meliputi punca dan jejak perjalanan wang dari awal sehinggalah penubuhan syarikat penerbangan terbabit,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau menjelaskan, suspek dalam kes berkenaan pernah terkait dengan kes I-Serve Online Mall Sdn Bhd (I-Serve Online Mall) sebelum ini dan kemudian menubuhkan syarikat penerbangan.

“Kita percaya ia saling berkait antara satu sama lain,” katanya.

Ramli berkata, siasatan lanjut kini sedang dijalankan dan tidak menolak kemungkinan ada lagi individu lain akan disiasat dan ditahan.

“Kita tengok hasil siasatan awal ini bagaimana, mungkin akan ada lagi yang akan disiasat selepas ini,” katanya.

Pada 1 September lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) pernah mengenakan penalti monetari pentadbiran berjumlah lebih RM50 juta terhadap I-Serve Online Mall dan enam syarikat lain di bawah Kumpulan I-Serve, kerana menerima deposit tanpa lesen.

Tindakan itu selepas siasatan BNM mendapati operasi syarikat itu melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) 2013 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Difahamkan, pengasas bersama dan pemegang saham syarikat penerbangan terbabit mempunyai 31.75 peratus pegangan dalam i-Serve Online Mall pada 13 September 2023.

Sebelum itu, satu tindakan penguatkuasaan bersama diambil terhadap i-Serve Online Mall dan syarikat sekutunya yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut FSA 2013 dan AMLATFPUAA 2001.

BNM dalam satu kenyataan pada 16 November 2021, memaklumkan sebanyak 22 premis berkaitan i-Serve Online Mall dan syarikat sekutunya di Kuala Lumpur dan Selangor diserbu pada 11 November sebelum ini, membabitkan rampasan dokumen bagi membantu siasatan.

Serbuan itu juga menyebabkan 45 akaun dalam tujuh bank dibekukan serta wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM118.7 juta dirampas.

Semalam, media melaporkan pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan bersama isteri dan anak lelaki mereka ditahan direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut (AMLATFPUAA) 2001.

Ketiga-tiga suspek, masing-masing berusia 57, 55 dan 26 tahun ditahan kira-kira jam 5.30 petang kelmarin di rumah mereka di Shah Alam, Selangor.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah syarikat penerbangan tambang murah,mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa 12 Oktober lalu atas faktor tekanan kewangan.

Difahamkan, suspek utama bergelar Datuk adalah pemegang pemegang saham tunggal terbesar syarikat penerbangan itu melalui dua syarikat miliknya, masing-masing dengan 88 dan 10 peratus kepentingan.

Isteri dan anak lelakinya juga ahli lembaga pengarah di syarikat penerbangan terbabit.

Loading...
Terkini