PETALING JAYA: Marah anak bermain telefon bimbit hingga lewat malam, seorang bapa tergamak memukul dengan tali pinggang selain mengugut ingin membunuh dengan parang pemotong daging di kediaman mereka di Lembah Subang, di sini, kelmarin.
Bagaimanapun tindakan lelaki panas baran terbabit mengundang padah apabila ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.18 tengah hari kelmarin daripada mangsa berusia 16 tahun.
Menurutnya, siasatan polis mendapati suspek berusia 56 tahun itu mengugut anaknya dengan parang pemotong daging dan memukulnya dengan tali pinggang.
“Bertindak atas maklumat, pada jam 10.30 malam, sepasukan polis menahan suspek yang bekerja sebagai pembantu restoran dan merampas parang berukuran 33 sentimeter.
“Suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.