comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Pukul pemandu e-hailing, tiga lelaki diburu 

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Biadab didakwa menjadi punca seorang pemandu e-hailing cedera dipukul sekumpulan individu dalam kejadian dekat Taman Bukit Cheras di sini.

Video rakaman insiden yang tular hari ini, dipercayai berlaku 6:30 petang, 26 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin menerusi kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku sewaktu mangsa hampir melanggar seorang penunggang motosikal ketika hendak mengundurkan keretanya.

“Penunggang motosikal terbabit mengangkat tangan menunjukkan isyarat tidak berpuas hati sebelum beredar dari lokasi itu.

“Masa sama, mangsa didatangi tiga lelaki warga tempatan dari gerai berdekatan yang memarahi mangsa dengan mendakwa mangsa bersikap biadap terhadap penunggang motosikal terbabit,” jelasnya.

Ketiga-tiga suspek kemudian memukul mangsa sehingga mengakibatkan kecederaan.

Kejadian itu bagaimanapun berjaya dileraikan orang awam yang berada di lokasi terbabit.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan siasatan terperinci sedang dilakukan untuk mengesan kesemua suspek yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini