Tumpuan :
Jenayah

Pukul 2 pereka fesyen, jurugambar direman sehingga esok

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang juga pereka fesyen dipukul seorang individu dalam satu kejadian di sebuah hotel di Petaling Jaya malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar, pihaknya menerima dua laporan polis kira-kira jam 11 malam.

“Dua laporan polis berkaitan seorang lelaki warga tempatan yang telah menyerang sehingga mendatangkan kecederaan ke atas dua lelaki warga tempatan.

“Kejadian berlaku di ruang legar aras satu, Grand Ballroom Hotel Avante, Petaling Jaya. Lelaki tersebut berjaya ditahan di tempat kejadian oleh pihak polis,” jelasnya dalam satu kenyataan media sebentar tadi.

Tambahnya, kedua-dua pereka fesyen masing masing berusia 47 dan 53 tahun itu hanya mengalami kecederaan dibahagian pipi akibat serangan berkenaan.

Siasatan awal mendapati suspek berusia 30-an itu dipercayai seorang jurugambar dan motif kejadian dipercayai berpunca daripada isu peribadi.

Polis turut merampas sebuah kamera dipercayai digunakan suspek sebagai senjata dalam kejadian itu.

Jelasnya, suspek telah direman selama dua hari sehingga Jumaat dan akan dituduh esok selepas permohonan reman dibenarkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang dan orang ramai boleh menyalurkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang ke Bilik Gerakan IPD Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini