comscore
Tumpuan :
Jenayah

PRU-15 : 21 kertas siasatan dibuka, 3 tangkapan

Foto : NSTP

PETALING JAYA : 21 kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM), berkaitan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan 13 daripadanya membabitkan perbuatan khianat.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, tiga individu turut ditahan, masing-masing satu tangkapan di Johor Bahru Utara, Johor; Petaling Jaya, Selangor dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

“PDRM menerima 13 laporan berkaitan kes khianat bahan kempen seperti kes bakar bendera serta merosakkan bendera, poster, kain rentang dan papan iklan milik calon dan gabungan parti politik serta curi bendera, semalam.

“Empat kes berlaku di Sarawak, masing-masing dua kes di Lubuk Antu dan Serian; dua kes berlaku di Johor (Johor Bahru Utara dan Kota Tinggi); dan dua kes di Pahang (Kuantan dan Bera),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hazani yang juga Pengarah Operasi PRU-15 PDRM berkata, perbuatan khianat bahan kempen turut dilaporkan berlaku di Barat Daya, Pulau Pinang; Ranau, Sabah; Muallim, Perak dan Seremban, Negeri Sembilan.

Kata beliau, semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (curi), Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat) serta Seksyen 436 Kanun Keseksaan (khianat dengan api).

Dalam pada itu, tiga tangkapan dibuat ke atas tiga lelaki dengan salah satu tangkapan berkait kes bakar bendera di Jalan Penyiaran 2, Taman Universiti, Skudai, Johor, semalam.

“Tangkapan kedua berkait kes ugutan yang dibuat seorang lelaki yang meminta wang perlindungan daripada petugas di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) di Jalan PJS 1/52 Petaling Utama, Petaling Jaya sebanyak RM2,500.

“Wang perlindungan itu sekiranya PH mahu mendirikan khemah serta berkempen di kawasan sekitar dan suspek turut mengugut akan membuat kacau sekiranya kehendaknya tidak dipenuhi,” katanya yang memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Tangkapan ketiga pula, katanya, membabitkan kes serang oleh sekumpulan lelaki terhadap seorang penduduk di Senangin 2, Taman Perai, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, semalam.

“Beberapa lelaki pergi ke rumah pengadu dan memberitahu mereka mencabut bendera DAP yang pengadu pasang di Kampung Main Road, Perai sebelum memarahi pengadu kerana memasang bendera di situ.

“Kumpulan lelaki itu mengaku sebagai gangster dan terus menyerang serta memukul pengadu menggunakan helmet sebelum melarikan diri. Hasil siasatan, salah seorang suspek berjaya ditahan,” katanya.

PDRM turut membuka beberapa kertas siasatan berhubung kes fitnah, mengeluarkan kata-kata lucah, penghinaan serta gangguan seksual.

Mengenai ceramah kempen pilihan raya, Hazani berkata, 1,301 ceramah berpermit dijalankan di seluruh negara oleh calon-calon yang bertanding, semalam namun terdapat lapan ceramah dikesan dibuat tanpa permit.

Loading...
Terkini