AMPANG JAYA: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila terseret ketika cuba terjun dari kereta selepas dipukul dengan topi keledar dan disamun sebaik pulang dari pusat hiburan di Pandan Perdana, di sini.
Nasib malang menimpa lelaki yang bekerja sebagai promoter berusia 27 tahun itu berlaku selepas menumpang sebuah kereta untuk pulang ke rumah pada 22 September lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa baru selesai berhibur di sebuah pusat hiburan dan sedang menunggu e-hailing dalam keadaan mabuk.
Menurutnya, sebuah kereta dinaiki dua wanita dan seorang lelaki berhenti serta menawar kepada mangsa untuk menghantarnya pulang.
“Ketika berada di dalam kereta itu, mangsa dituduh menganggu salah seorang wanita dan suspek lelaki terus memukulnya dengan topi keledar menyebabkan luka di muka.
“Mangsa kemudian membuka pintu kereta dan cuba terjun untuk melarikan diri menyebabkan terseret,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata, suspek kemudian mengambil telefon bimbit dan wang tunai RM100 sebelum melarikan diri.
“Akibat kejadian itu mangsa cedera di pipi sebelah kanan, mulut, lutut, siku, kaki dan calar di dada sebelah kiri.
“Bertindak atas maklumat pada jam lebih kurang 4.15 pagi kelmarin, sepasukan pegawai dan anggota Polis dari Bahagiam Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, menahan suspek wanita di Pandan Perdana dan merampas telefon bimbit serta direman lima hari sehingga 3 Oktober ini,” katanya.
Beliau berkata, susulan itu, sepasukan polis menahan seorang lagi wanita di hadapan sebuah hotel di Kuala Lumpur pada jam 12.20 tengah malam semalam dan merampas dua telefon bimbit sebelum direman seminggu sehingga 4 Oktober ini.
“Suspek ketiga dan keempat iaitu dua lelaki masing-masing ditahan jam 2.20 pagi dan 4.05 pagi di Cheras dan Pandan Jaya serta merampas tiga telefon bimbit dan direman seminggu sehingga 4 Oktober ini.
“Kes disiasat mengikutSeksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa