comscore
Tumpuan :
Jenayah

Porsche bernilai hampir RM3 juta ‘tinggal lebih masa’ disita

Oleh: Selwam Arjunan

KANGAR: Sebuah kereta mewah berjenama Porsche bernilai hampir RM3 juta termasuk cukai, antara tiga kenderaan yang disita Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis ekoran tinggal melebihi tempoh 90 hari di Tanah Semenanjung.

Pengarahnya, Ismail Hashim, berkata rampasan dilakukan selepas pemilik ketiga-tiga kenderaan itu menyerahkan diri kerana melanggar syarat di bawah Butiran 14, Perintah Duti Kastam (pengecualian) 2017.

Berdasarkan Butiran 14, kenderaan yang dibeli ke Pulau Bebas Cukai sama ada Pulau Langkawi atau Labuan, tidak dibenarkan memasuki tanah besar melebihi tempoh 90 hari setahun.

“Dua lagi kenderaan yang dirampas adalah Mazda SKYACTIV bernilai lebih RM128,500 termasuk dengan nilai cukai dan Toyota Camry yang bernilai lebih RM141,570 ribu termasuk cukai,” katanya dalam sidang media di Kompleks Kastam Negeri, di sini.

Ketiga-tiga kes itu diperoleh antara 26 September hingga 1 Oktober lepas.

“Macam kes kereta Porsche ni, pemiliknya berada di Kuala Lumpur dan seseorang bawa kereta tu menggunakan loader datang ke sini menyerah diri… menyatakan sudah dua hari lebih berada di tanah besar.

“Bagi dua kes lagi mereka datang sendiri ke Pejabat di Kuala Perlis menyatakan sudah melebihi tempoh 90 hari… macam Toyota Camry tu lama sikit melebihi 20 hari dan Mazda berada lebih 3 hari.

“Kita bertegas dalam isu ini kerana tak mahu timbul satu situasi kenderaan seperti itu berada lama sangat di tanah besar, itu dah macam nak lari cukai.

Bagi pelanggaran syarat di bawah Butiran 14, kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini