KULIM: Polis merobohkan dua pondok yang dijadikan pusat jualan dan memproses air ketum di Taman Serai Wangi dan Taman Ria Padang Serai, di sini, hari ini.
Operasi Op Roboh itu bermula 8.30 pagi dengan membabitkan 50 anggota termasuklah kakitangan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Syarikat Air Darul Aman (SADA) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata dua pondok itu didapati didirikan tanpa kebenaran dan MPKK sudah memberi notis meroboh serta mengosong pada Januari dan Februari lalu kepada pemilik.
“Bagaimanapun, tiada sebarang maklum balas diterima daripada pemilik dalam tempoh 30 hari dan operasi meroboh serta memotong bekalan elektrik dan air terpaksa dilakukan hari ini.
“Tiada sebarang kekecohan atau insiden berlaku dalam operasi selama empat jam itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Redzuan berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim pernah menyerbu dan merampas cecair serta daun ketum di dua pondok terbabit, tahun lalu.
Tahun lalu, beliau berkata, polis merampas 37.2 liter cecair ketum dan merampas 28 kilogram (kg) daun ketum pada September serta enam liter cecair ketum pada November dari pondok di Taman Serai Wangi.
“Kita juga melakukan serbuan di Taman Ria, Ogos tahun lalu dan merampas 3.2 liter cecair ketum,” katanya.
Beliau berkata, pemilik gerai terbabit didapati melanggar arahan walaupun sudah diberikan notis mengikut Seksyen 72 (1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).