Tumpuan :
Jenayah

Polis tumpaskan tiga kegiatan penipuan pelaburan dan perjudian dalam talian, 17 ditahan

KUALA LUMPUR: Tiga pengarah syarikat antara 17 individu ditahan dalam tiga serbuan membabitkan kegiatan penipuan pelaburan dan perjudian dalam talian dalam serbuan awal bulan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata tujuh daripada yang ditahan ialah tiga lelaki warga China dan seorang warga Taiwan yang disyaki menjalankan pusat panggilan penipuan.

Katanya, tiga pengarah syarikat pelaburan berusia antara 49 hingga 57 tahun pula ditahan Khamis lalu bagi membantu siasatan berhubung kegiatan penipuan pelaburan membabitkan nilai kerugian mencecah RM3,992,486.43.

Pihaknya menerima sebanyak 57 laporan berhubung kegiatan penipuan pelaburan membabitkan syarikat yang memulakan operasi sekitar tahun 2017 itu, sejak 15 Mac 2021.

“Syarikat itu menjalankan perniagaan berkaitan pembangunan hartanah, tanah, tanah pertanian, aset dan pengurusan liabiliti dengan promosi pelaburan dibuat melalui Facebook serta ejen syarikat yang dilantik.

“Dua pakej pelaburan ditawarkan iaitu GIB Sub-Let 2020 dengan tempoh matang dua tahun dan dua bulan, serta GIB Sub-Let Flipping 2020 dengan tempoh matang setahun.

“Wang pelabur dikatakan akan dilaburkan dalam bidang hartanah dan pelabur dijanjikan keuntungan sebanyak RM540 setiap 45 hari bagi pakej pertama dan setiap 60 hari, bagi pakej kedua,” katanya dalam sidang media, di ibu negara.

Katanya lagi,   kebanyakan pelabur hanya menerima dividen dalam satu atau dua bulan pertama, sebelum keuntungan itu tidak lagi dibayar.

Katanya, ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan permohonan reman pertama dibenarkan tiga hari sehingga semalam dan permohonan reman kedua dibenarkan selama dua hari sehingga esok.

Sementara itu, tujuh individu ditahan yang menjalankan kegiatan pusat panggilan penipuan itu berusia 27 hingga 42 tahun di sebuah premis di Kuala Lumpur pada 7 Disember lalu.

Mereka yang ditahan itu memainkan peranan sebagai pengurus pejabat dan sumber manusia, penterjemah skrip, pereka laman web dan pembantu pejabat.

“Turut dirampas ialah 13 telefon bimbit, empat komputer riba, tiga set komputer, masing-masing satu router, modem, ipad dan tablet serta wang tunai pelbagai mata wang antaranya RM3,855,” katanya.

Hasil siasatan awal, sindiket didapati menawarkan skim pelaburan tidak wujud atas nama Alpha AI dan membina laman sesawang palsu serta mencipta graf pasaran saham palsu bagi tujuan memperdaya pelabur.

“Sindiket ini juga, didapati menterjemahkan skrip penipuan yang pada asalnya Bahasa Cina kepada Bahasa Inggeris dan seterusnya kepada Bahasa Hindi untuk digunakan bagi memperdaya mangsa dalam kalangan rakyat India.

“Semua suspek warga tempatan dibebaskan dengan jaminan polis setelah reman terhadap mereka tamat pada 10 Disember, manakala empat suspek warga asing ditahan mengikut Akta Imigresen 1959 hingga 24 Disember ini,” katanya.

Sementara itu, tujuh lagi suspek warga tempatan berusia 18 hingga 30 tahun disyaki terbabit dengan aktiviti perjudian dalam talian ditahan di Seri Kembangan, Selangor pada 6 Disember lalu.

Turut dirampas ialah tujuh set komputer, 25 telefon bimbit, masing-masing satu router dan kunvi rumah, sembilan kad ATM dan enam kad sim.

“Siasatan awal mendapati, sindiket ini menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dengan menyasarkan rakyat Singapura sebagai mangsa.

Laman sesawang https://ovtab99.com digunakan untuk mempromosikan aktiviti perjudian itu,” katanya.

Loading...
Terkini