![](https://media.buletintv3.my/2023/02/jlNRraKe-pp-cms-14.jpg)
Oleh Baharudin Mohamed
MELAKA: Polis menumpaskan satu sindiket yang menjadikan Melaka sebagai transit pengedaran dadah apabila merampas Syabu seberat lebih 3.1 kilogram bernilai RM114,668 di sebuah kondominium di Tanjung Kling, di sini awal pagi Khamis lalu.
Dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada jam 3.30 pagi itu, dua lelaki tempatan berusia 24 dan 35 tahun yang menyewa di kondominium itu ditahan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya turut merampas beberapa harta, peralatan dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM34,763 di kondominium terbabit.
“Sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak Jun tahun lalu itu menjadikan unit kondominium itu sebagai pusat pembungkusan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zainol, kesemua dadah yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran sekitar Batu Pahat dan Johor Bahru.
“Kesemua dadah berkenaan boleh digunakan untuk seramai 15,820 orang penagih,” katanya.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua suspek terbabit adalah positif jenis methamphethamine.
Siasatan juga mendapati kata beliau, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan narkotik.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan harta yang disita dianggarkan bernilai RM136,431,” jelasnya.
Kedua-dua suspek tambah Zainol, ditahan reman selama seminggu bermula 23 Februari lalu.
Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sabit kesalahan ujarnya, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.
“Jika tidak dihukum dengan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.
“PDRM berharap masyarakat dapat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang dilakukan di kawasan masing-masing,” katanya.
Maklumat ujarnya, boleh disalurkan ke talian Hotline JSJN 012-2087222.