KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan dua geng mencuri motosikal dikenali sebagai Geng Awey dan Geng Alep apabila menahan tujuh lelaki tempatan dalam serbuan berasingan melalui Op Lejang di ibu negara.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, dalam operasi pertama pada 6 Disember lalu, tiga serbuan dijalankan di sekitar Lembah Klang yang menyaksikan penahanan lima lelaki berusia 31 hingga 43 tahun disyaki ahli Geng Awey.
“Hasil soal siasat, mereka mengaku terbabit dalam 21 kes mencuri kenderaan membabitkan 19 kes bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dan masing-masing satu kes bawah IPD Sentul serta IPD Cheras membabitkan kerugian bernilai RM139,600.
“Pihak polis dengan dipandu arah oleh suspek kemudian menemui dan merampas sembilan telefon bimbit, tablet, sembilan rangka motosikal dan dua motosikal dipercayai kenderaan curi,” katanya pada sidang media di IPD Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut membawa kepada penemuan barang kes yang dibuang ke dalam beberapa sungai di sekitar daerah Gombak.
“Polis dengan bantuan bomba berjaya menemui tujuh rangka motosikal, dua komponen motosikal, dua rim motosikal, ‘fork’ hadapan motosikal dan tempat pijak belakang motosikal,” katanya.
“Geng itu dipercayai aktif sejak 2016 dan hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau,” katanya.
Dalam operasi kedua pada 17 Disember lalu, polis menahan dua lelaki berusia 17 dan 20 tahun disyaki ahli Geng Alep di tepi Jalan AU 5D/7, Lembah Keramat.
“Suspek pertama mengaku terbabit dalam tujuh kes mencuri kenderaan, manakala suspek kedua dibebaskan dengan jaminan polis.
“Geng itu dipercayai aktif tahun ini di sekitar Wangsa Maju, Sentul dan Cheras. Hasil soal siasat, polis merampas sebuah motosikal Yamaha 135 LC, spanar dan alat pemutar skru.
“Empat kertas siasatan dibuka, iaitu dua bawah IPD Wangsa Maju dan masing-masing satu bawah IPD Sentul serta IPD Cheras. Kita percaya berjaya menyelesaikan 20 kes kecurian motosikal di daerah ini membabitkan kerugian bernilai RM128,000,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi kedua-dua geng itu ialah mencuri motosikal yang berkunci dengan mematahkan ‘tengkuk’ kenderaan itu sebelum membawanya ke bengkel haram untuk dileraikan.
“Komponen motosikal yang dileraikan itu akan dijual pada harga antara RM300 hingga RM700, dengan menggunakan media sosial seperti Facebook untuk ‘mengiklankan’ barangan terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan dua lelaki termasuk seorang bekas banduan yang baru empat bulan dibebaskan dari Penjara Kajang, kerana disyaki meragut seorang pelancong Russia sehingga menyebabkan kerugian lebih RM10,000.
Mohamad Lazim berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 30 dan 29 tahun itu ditangkap di tempat parkir motosikal Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong, Jalan Silang di sini, 19 Disember lalu.
Beliau berkata, ia susulan aduan diterima daripada seorang pelancong wanita berusia 50-an yang berasal dari Russia selepas beg dibawanya diragut dua lelaki bermotosikal pada 12 Disember lalu.
“Kejadian ragut dilaporkan berlaku di Jalan Sejahtera, Jalan Tun Razak, kira-kira jam 6 petang ketika mangsa sedang berjalan kaki ke Stesen MRT Ampang Park untuk mengambil tren ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Pada hari kejadian, mangsa dijadualkan pulang ke Russia dengan menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun terpaksa menundanya selama tiga hari berikutan insiden itu,” katanya.
Mohamad Lazim berkata, mangsa kerugian wang ASD1,500 (RM6,630) dan 10.26 juta Rupiah (RM2,854), selain kehilangan pelbagai dokumen peribadi termasuk pasport serta telefon bimbit dalam kejadian itu.
“Hasil soal siasat yang dijalankan, kedua-dua suspek mengaku terbabit kes itu. Hasil semakan mendapati mereka tidak bekerja, dengan salah seorang suspek yang berusia 30 tahun baru dibebaskan dari Penjara Kajang pada 31 Julai lalu.
“Suspek pertama juga didapati mempunyai 33 rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi mempunyai 17 rekod jenayah lampau,” katanya.
Mohamad Lazim berkata, hasil siasatan lanjut mendapati mata wang asing yang disamun itu sudah ditukar kepada mata wang Malaysia berjumlah hampir RM10,000 di premis pengurup wang, dan wang berkenaan dibahagikan antara kedua-dua suspek itu, termasuk untuk membayar hutang.
“Tiga kertas siasatan dibuka terhadap kedua-dua suspek, dengan dua daripadanya bawah IPD Wangsa Maju dan satu lagi IPD Dang Wangi.
“Kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, dan dijadualkan dituduh di mahkamah Kuala Lumpur, esok,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.