Tumpuan :
Jenayah

Polis tumpas sindiket edar dadah RM1.3 juta, 8 termasuk dua wanita ditahan

FOTO: Ihsan Polis

SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan menumpaskan sindiket pengedaran dadah minggu lalu dan berjaya merampas pelbagai jenis bahan terlarang bernilai RM1.3 juta.

Ketua Polisnya, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kejayaan itu hasil empat serbuan di sekitar daerah ini dan lapan individu termasuk dua wanita ditahan.

“Tujuh daripadanya warga tempatan, manakala seorang adalah warga Singapura, yang semuanya berusia antara 29 hingga 68 tahun.

“Dadah dirampas jenis syabu anggaran berat 33,974.07 gram(g), kokain anggaran berat 748.23g dan pil yaba (16 biji) dianggarkan 6.87g.

“Nilai keseluruhan dadah berjumlah RM1.3 juta, akan diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 198,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita empat kenderaan, wang tunai RM3,920 dan pelbagai jenis barang kemas dan jam tangan dianggarkan bernilai RM188,068.80.

“Barangan berkenaan disyaki hasil daripada aktiviti haram yang kesemuanya berjumlah RM788,579.80,” katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek mendapati, enam lelaki positif dadah, manakala dua wanita negatif sementara, empat daripada mereka mempunyai pelbagai rekod atas kesalahan dadah dan jenayah.

“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 7 Februari hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A(2) serta Sesyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini