comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tumpas sindiket dadah, 2 individu ditahan dan 10 kilogram ganja dirampas

Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM38,068,00 dan dipercayai boleh dibekalkan kepada lebih 20,000 penagih.

Oleh: Fareez Azman

PETALING JAYA: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah sekitar Petaling Jaya dan Shah Alam selepas penahanan dua individu dan merampas lebih 10 kilogram dadah jenis ganja pada 26 September lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, serbuan di dua lokasi berasingan itu hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen Selangor.

“Kedua-dua suspek berumur 19 hingga 23 tahun dan direman selama tujuh hari bermula 27 September untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Suspek pertama seorang lelaki tempatan ditahan kira-kira jam 3.50 petang di kawasan tempat letak kereta di Petaling Jaya.

Manakala suspek kedua seorang wanita tempatan ditahan di sebuah kondominium di lokasi sama kira-kira jam 5.00 petang.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian air kencing negatif dadah.

“Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran ini telah bergiat aktif sejak tahun lalu di sekitar Lembah Klang.

“Modus operandi adalah dengan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan secara bersemuka,” jelasnya lagi.

Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM38,068,00 dan dipercayai boleh dibekalkan kepada lebih 20,000 penagih.

Turut dirampas sebuah kenderaan dipercayai digunakan suspek.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini