KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang baru enam bulan beroperasi di sekitar Sentul menerusi penahanan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM500,000 dalam serbuan minggu lalu.
Difahamkan, sindiket mencampurkan dadah bersama serbuk minuman pelbagai perisa sebelum diedarkan ke sekitar Lembah Klang terutama pusat hiburan.
Bagaimanapun, aktiviti sindiket yang menjadikan beberapa unit kediaman di sebuah kondominium mewah di Segambut di sini, sebagai tempat pembungkusan dadah berjaya dikesan sepasukan polis yang menjalankan risikan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, serbuan dilakukan pasukan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
“Dalam serbuan pada 6.45 petang, pasukan menahan dua lelaki tempatan berusia 29 dan 31 tahun di hadapan lif kondominium.
“Penahanan kedua-dua suspek itu membawa kepada serbuan di sebuah unit kediaman di kondominium berkenaan dan menemui sejumlah 1,982 peket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis mdma anggaran berat 101,850 gram,” katanya dalam sidang media di IPD Sentul di sini, hari ini.
Beliau berkata, pasukan turut menyerbu dua lagi unit kediaman di lokasi sama dan merampas 196 peket plastik mdma anggaran berat 9,942 gram; 450 biji pil erimin 5 (124 gram); lima peket ekstasi (93.83 gram); lapan peket ketamin (242 gram), 45 biji pil yaba (4.51 gram); alat memproses dadah serta dua kunci kenderaan.
Ahmad Sukarno berkata, pasukan kemudian ke tempat parkir kenderaan di bangunan berkenaan dan menemui 11 peket berisi serbuk mdma anggaran berat 542 gram di dalam sebuah kereta Volkswagen Passat.
Selain itu, katanya, polis turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, kereta Perodua Myvi, Honda Civic dan Suzuki Swift dengan keseluruhan dianggarkan bernilai RM230,000.
“Ujian saringan air kencing dijalankan mendapati kedua-dua suspek negatif dan tiada rekod jenayah lampau.
“Namun, kita (polis) masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti ahli sindiket lain yang terbabit dan punca bekalan dadah itu diperoleh,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua suspek yang sebelum ini direman tujuh hari berakhir hari ini disambung reman enam hari lagi sehingga Ahad ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.