comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tumpas sekumpulan penjenayah terlibat dalam 13 kes samun

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

SHAH ALAM: Polis berjaya menumpas sekumpulan penjenayah berbahaya dan dipercayai terlibat dalam kegiatan kongsi gelap, serta aktif melakukan samun berkumpulan di beberapa negeri khususnya Selangor dan Negeri Sembilan sejak tahun lalu.

 

Menerusi Op Casa yang dijalankan sejak 3 Oktober lalu, 10 individu termasuk seorang wanita, berusia antara 23 tahun dan 46 tahun ditahan di sekitar Mantin dan Lembah Klang.

Seorang lelaki berusia 30an dengan 14 rekod jenayah termasuk tiga kes bunuh juga antara yang ditahan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata kumpulan ini dianggap profesional, melalukan risikan serta membuat perancangan terlebih dahulu sebelum melakukan jenayah.

“Mereka boleh bertindak jauh, mencederakan mangsa sekiranya digugat, sehingga sekarang kita percaya mereka telah menyamun di Klang Selatan saja sebanyak enam kes.

“Kita juga kesan terdapat tujuh kes samun yang mereka buat di Negeri Sembilan, ini paling minimum 13 kes pada tahun ini dan tahun lepas, tetapi kita percaya mereka juga terlibat dalam banyak kes yang lain sama ada di Selangor atau negeri lain.

“Mereka akan mengenalpasti rumah-rumah yang mereka mudah masuk dan mereka akan masuk di awal pagi apabila mana-mana mangsa cuba buka pintu, mereka akan serbu menggunakan parang, seterusnya ikat mangsa, geledah rumah dan bawa lari.

“Kita percaya mereka telah melakukan risikan dan kenalpasti rumah-rumah yang mereka boleh dapatkan hasil, dan mereka bersedia untuk cederakan sesiapa sekiranya mereka dihalang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Tambahnya, kesemua suspek turut dipercayai terlibat dalam kes samun di Pandamaran, Klang, awal pagi Khamis lalu.

Dalam kejadian sekitar jam enam pagi itu, rumah mangsa dimasuki 10 hingga 12 individu bertopeng dan bersenjatakan parang.

Mangsa diikat sebelum rumah digeledah dan beberapa barang berharga sempat dilarikan.

Dalam kejadian itu, salah seorang penghuni turut dicederakan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini